[VIDEO] Zahid jawab spekulasi tular, nafi dakwaan pertemuan BN, PN, GPS, GRS

CYBERJAYA – [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab spekulasi yang tular di media sosial mengenai dakwaan kononnya berlangsung satu pertemuan membabitkan BN, Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jam 2 petang ini.

Tegas Pengerusi BN itu, beliau sendiri telah membuat semakan, namun tidak memperoleh sebarang maklumat berhubung dakwaan berkenaan.

"Saya tak tahu-menahu hal itu. Tak ada," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Imigresen kali ke-104, di sini pada Selasa.

Sebelum itu, satu mesej yang tular di aplikasi WhatsApp mendakwa pemimpin BN, PN, GPS dan GRS akan mengadakan sidang media bersama pada jam 2 petang Selasa, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan berlaku penjajaran politik baharu.

**media[3589393]**

Dalam pada itu, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan gabungan itu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ujarnya pendirian tersebut tidak berubah dan kekal berpegang kepada keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO.

"Itu pendirian dan resolusi kita yang telah kita bawa ke Perhimpunan Agung.

"Tidak ada badan lebih tinggi daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan kita sangat menghormati keputusan itu.

"Jadi kita harap janganlah risau," katanya.